June 1, 2012

KEM INTERAKTIF EMAS

2 Jun 2012: Hala Tuju Peserta Emas

Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Rakan Muda, Dr Mohd Ghani Mohd Yusof dalam ucapannya menyatakan Kem Interaktif adalah satu platform bagi melahirkan pimpinan muda di bawah program Rakan Muda Tahap Emas. Adalah menjadi harapan agar para peserta Emas Malaysia dapat memperkasakan diri dengan memberikan sumbangan kepada negara selepas tamat tahap Emas melalui penglibatan yang aktif dalam pembangunan negara.

Kem Interaktif Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Peringkat Zon Selatan 2012 ini akan diadakan pada 16 - 20 Jun 2012 di Taman Negara Johor, Endau-Rompin. Beliau mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil dari Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBS), JBS Negeri Melaka, JBS Negeri Sembilan, Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ), Ikatan Rela Negeri Johor (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Negeri Johor (JPAM), Taman Negara Johor dan MOI Adventure di atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

Pegawai Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Hjh Supiati Sahuni membentangkan kertas konsep Kem Interaktif Emas ARPRM selepas ucapan alu-aluan pengerusi majlis. Kumpulan sasar seramai 100 orang peserta tahap Emas adalah berumur di antara 16 hingga 25 tahun, dari negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Tentatif program juga dibentangkan dan dibicangkan bersama.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Cawangan Gaya Hidup, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (KBS); Sabran Abd Bahar dan pemegang pingat Emas ARPRM, Ravichandran yang baru pulang dari London. Ravi turut mencadangkan bahawa program Pertubuhan Belia Emas Perdana (MAGAA) perlu diadakan dan dimasukkan dalam slot Latihan Dalam Kumpulan (LDP).

Wakil rasmi Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Hisham Mohd Yassin turut sama dalam mesyuarat yang berakhir pada jam 12.00 tengahari.